3 Okt 2012

Pengenalan Kepada PDK Taman Ehsan

SEJARAH PDK TAMAN EHSAN, KEPONG
Pada tahun 2004, para ibu bapa komuniti Taman Ehsan telah bekerjasama memulakan usaha untuk menubuhkan sebuah pusat kanak-kanak istimewa iaitu PDK Taman Ehsan.  Sebelum penubuhan Pusat PDK Taman Ehsan ini, kebanyakkan murid pada asalnya belajar di Pusat PDK Selayang.  Ini diakui sendiri oleh Puan Shariffah Halidah selaku salah seorang sukarelawan di Pusat PDK tersebut.  Apabila bilangan murid semakin bertambah, maka pihak Pusat PDK Selayang telah mencadangkan agar diwujudkan sebuah Pusat PDK di Taman Ehsan.  Ini adalah kerana kebanyakkan murid tersebut datangnya dari sekitar Taman Ehsan.  Oleh yang demikian, usaha untuk menubuhkan pusat PDK telah dimulakn pada tahun 2004.

Langkah pertama yang dilakukan pada masa itu adalah menubuhkan sebuah jawatankuasa penaja dan mencari sebuah tempat yang sesuai untuk dijadikan bangunan PDK. Bagi memastikan hasrat untuk menubuhkan PDK menjadi kenyataan, rumah Tuan Haji Jamil (pengerusi sekarang) ini telah digunakan sebagai bangunan PDK Taman Ehsan.  Setelah bertapak di rumah tersebut, PDK Taman Ehsan telah berpindah ke sebuah kawasan dengan jasa baik Ketua Cawangan UMNO Taman Ehsan iaitu di sebuah bangunan yang berfungsi sebagai Bilik Gerakan UMNO Cawangan Taman Ehsan, Kepong.

SEJARAH PENUBUHAN
PDK Taman Ehsan telah memulakan operasinya secara “ad hoc” mulai 1 Julai 2005.  Penubuhannya adalah susulan dari keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Penaja serta penubuhan Jawatankuasa PDK Taman Ehsan yang telah diadakan di Bilik Gerakan UMNO Cawangan Taman Ehsan Kepong pada 16 April 2005.  Akhirnya, pihak PDK Taman Ehsan telah mendapat kelulusan penubuhannya pada Oktober 2006.

Penubuhannya adalah bertujuan untuk menjalankan Program Pemulihan, Pembelajaran, Latihan dan Pembangunan untuk Kanak-kanak Kurang Upaya (KKU) dan Remaja Kurang Upaya (RKU) terutamanya kepada mereka yang Kurang Upaya Mental (Intellectually Disabled) dan Kurang Upaya Fizikal (Physically Disabled). Objektif program ini adalah untuk membimbing murid agar dapat mengurus diri sendiri tanpa bantuan sepenuhnya dari orang lain dan belajar untuk hidup berdikari apabila dewasa kelak.

Terdapat empat (4) kategori murid yang telah dikenalpasti di awal pengoperasian PDK ini ialah Autisme, Cerebral Palsy, slow Learner dan Down Syndrome.  Secara terperinci, terdapat 5 kes melibatkan kecacatan Autisme, 4 kes Cerebral Palsy, 1 Slow Learner dan 3 kes Down Syndrome. Walaupun jika diteliti dari nisbah guru : murid sememangnya tidak mencukupi dari segi pengendalian. Namun begitu, dengan adanya penyelia, 3 guru dan seorang pembantu pada waktu itu, kami dapat menguruskannya secara bersama-sama walaupun yang mendapat elaun hanyalah 3 orang sahaja. 

Kini Pusat PDK Taman Ehsan, mempunyai 16 orang murid yang berdaftar dan malangnya hanya ada 3 orang pengendali sahaja. Kesulitan ini berlaku kerana dua orang pengendali telah berhenti. Ini bermakna kami  bertiga terpaksa melakukan tugas mengajar, mengasuh dan bertugas di dapur. Kami telah memohon peruntukan guru tambahan dari pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Namun begitu setakat ini tidak ada maklum balas dari pihak tersebut. Untuk mendapatkan pembantu pula, kami menghadapi masalah kerana tidak ramai yang sanggup mendekati golongan OKU kecuali kaum/ahli keluarga sendiri.  Kami juga menghadapi kesulitan kewangan untuk tujuan membayar gaji semua pekerja di PDK ini.


SUMBANGAN
Setelah sekian lama ditubuhkan, pelbagai pihak menyalurkan sumbangan tidak kira dalam bentuk kewangan atau kebendaan serta tenaga.  Antaranya ialah, FRIM berbesar hati menyumbangkan pelbagai jenis peralatan yang amat diperlukan oleh pihak kami seperti peti ais, televisyen, alat pemain CD, sebuah kipas angin serta sebuah dapur untuk memasak.  Guru-guru pelatih dari IPG Kampus Ilmu Khas juga sering dihantar ke sini untuk membuat bakti siswa dengan membantu kami mencantikkan kawasan PDK yang ada serta menganjurkan beberapa aktiviti bersama.
 
KEMUDAHAN 
Pusat PDK Taman Ehsan mempunyai 5 bahagian utama iaitu ruang aktiviti, ruang makan dan dapur, ruang terapi, pejabat dan padang. Ruangan aktiviti terletak di bahagian depan bangunan PDK Taman Ehsan. Ruang ini berfungsi sebagai tempat petugas dan murid PDK menjalankan aktivi seperti perhimpunan, senam robik, kelas seni, kelas remaja dan kelas pengurusan diri. ruangan ini juga memuatkan info-info mengenai PDK, profil warga PDK dan isu semasa yang berkaitan serta hasil kerja murid.


Dapur dan Bilik Air


Ruang aktiviti
Ruang makan dan dapur terletak di bahagian tengah bangunan PDK. Di sini pelatih dan murid melaksanakan aktiviti seperti makan, masak dan menguruskan dapur bagi menyediakan kemahiran berdikari kepada murid PDK sebagai persediaan kepada mereka.

Aktiviti terapi yang dilaksanakan seperti terapi fisio, terapi muzik, terapi multi sensori dan terapi cara kerja di jalankan di bahagian belakang bangunan PDK iaitu di ruangan terapi. Pebagai peralatan dan bahan terapi di sediakan di sini sebagai bantuan kepada murid PDK yang menjalankan terapi.
Ruang Terapi
Bagi urusan rasmi PDK serta pentadbiran, penyelia PDK menjalankan aktiviti di pejabat PDK yang terletak dalam kontena di belakang bangunan. kelengkapan yang terdapat di pejabat PDK seperti komputer, printer, dan lain-lain membantu penyelia mengurus dan menyediakan keperluan PDK.


PDK Taman Ehsan mempunyai sebuah padang yang luas dan cantik. Padang berfungsi sebagai kawasan riadah dan sukan kepada murid PDK seperti bocce, lompat berdiri dan aktiviti sukaneka. Terdapat taman refleksiologi dan taman herba yang dikenali sebagai taman firdausi yang berfungsi sebagai hiasan dan rekreasi kepada PDK.

Taman Refleksoligi dan padang
 
LOGO
 
Kesimpulannya, PDK Taman Ehsan masih beroperasi sehingga ke hari ini. InsyaAllah pada masa akan datang juga banyak penambahbaikkan akan dibuat dari semasa ke semasa. 
Terima kasih.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan