2 Okt 2012

Pengenalan Kepada Pemulihan Dalam Komuniti

Sejarah Penubuhan PDK
Salah satu kaedah pemulihan yang diterima pakai oleh WHO dan juga Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia ialah kaedah Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) berasaskan terjemahan asalnya Community Based Rehabilitation System (CBR). Kaedah PDK ini telah dipelopori oleh tiga pakar perubatan dan juga physiotherapist WHO yang terdiri daripada E. Helandar, P. Mendis dan G. Nelson yang telah menghasilkan sebuah manual yang pada peringkat drafnya setebal hampir 300 muka.

Jabatan Kebajikan Masyarakat telah terlibat secara langsung dalam penyediaan manual tersebut ini apabila pada tahun 1983 Malaysia telah diwakili oleh seorang Pegawai Kebajikan Masyarakat dan seorang Pegawai Perubatan untuk meneliti draf manual berkenaan dan seterusnya memberikan peluang menilai dan mengubahsuaikan pelaksanaan kaedah ini di suatu Mesyuarat Kumpulan Pakar (Expert Group Meeting) anjuran WHO di Manila.

Hasilnya ialah Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu khususnya, menjalankan satu projek perintis PDK di Batu Rakit berasaskan hasil kajian ke atas profile orang kurang upaya yang terdapat di Mukim  Batu Rakit. Kajian itu dijalankan dengan kerjasama semua peringkat penduduk dan Jabatan Kerajaan di mukim tersebut dan melibatkan penduduk daripada sembilan (9) buah kampung sejumlah 17,149 orang. Hasil kajian menunjukkan sejumlah 275 orang kurang upaya dikenalpasti dan merupakan 1.65% daripada penduduk mukim berkenaan.

Hasil daripada kajian tersebut telah meyakinkan Jabatan untuk dengan ramainya melancarkan program PDK pada tahun 1984 oleh YB. Menteri Kebajikan Masyarakat ketika itu. Pada peringkat awal pelancaran, Batu Rakit telah dikenalpasti memandangkan mukim tersebut mempunyai faktor-faktor yang sesuai untuk kajian dan juga disebabkan insiden kurang upayaan yang ramai di Daerah Kuala Terengganu ketika itu. PDK ketika di peringkat pelaksanaan awalnya hanya melibatkan seramai 55 kes orang kurang upaya kini telah meningkat perkembangannya dengan berlipat kali ganda dan melambangkan satu kaedah pemulihan orang kurang upaya di negara ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan